Saturday, April 14, 2012

Isu 22 tahun tanpa CF: MB Pahang Adnan Yaakob kurang ajar, herdik penduduk

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar kiri) bertindak kurang ajar terhadap seorang penduduk yang mengemukakan persoalan berkaitan sijil layak menduduki rumah (CF).

L Ramasamy yang menghuni rumah pangsa kos rendah di Taman Sri Kemuning selama 22 tahun berkata kejadian itu berlaku dua minggu lalu.

“MB memang bersikap kurang ajar. Kami tidak tahu harga rumah pangsa kos rendah.

“Pada peringkat awal MBSB (Malaysia Building Society Bhd) dakwa harga rumah adalah RM18,000, kemudian kata RM25,000,” kata beliau.

Isu CF

Justeru itu, dalam perjumpaan melibatkan 200 penduduk, MBSB dan Adnan, Ramasamy bertanya mengenai CF.

Pertemuan di dewan Pejabat RELA bertujuan untuk menyelesaikan masalah perumahan khususnya berhubung bayaran kepada MBSB dan harga rumah.

Dalam ucapannya, Adnan berulangkali meminta penduduk membuat bayaran kos perumahan tanpa menyebut harganya.

“Selepas ucapan MB ada sesi dialog dan soal jawab lalu saya bertanya sama ada CF sudah diperolehi.

”Selama 22 tahun isu CF belum selesai dan bagaimana mahu bayar jika CF tidak ada?

Bayar dulu

“MB jawab bayar dulu duit rumah dan kemudian bincang tentang CF.

“Saya tanya lagi sebenarnya CF lulus atau tidak dan MB menjawab isu CF tidak timbul kerana yang lebih penting ialah bayaran perlu dibuat.

“Saya tak puas hati dengan jawapan MB kerana lebih 22 tahun CF perumahan kami tak dapat tetapi saya terus diam dan ambil keputusan untuk balik sahaja.

Apabila Ramasamy keluar, MB bertindak memanggilnya masuk kembali dengan menggunakan alat pembesar suara.

“Dengan kasar dan bersuara kuat menggunakan pembesar suara MB bertempik: Awak orang PKR, pergilah minta (rumah) dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.”

MB marah

“Saya jawab kenapa cakap macam itu sebab Pahang di bawah perintah BN bukannya PKR, bukannya tanggungjawab Anwar tetapi MB dan kalau Anwar mesti tolong orang susah,” kata Ramasamy.

MB marah lalu merapatkan pembesar suara kepada Ramasamy (gambar kanan) sambil bertanya dengan suara kasar sebab Ramasamy menjadi ahli PKR.

“Saya jawab 21 tahun saya sokong BN tetapi saya tak dapat apa-apa.

“Saya beritahu, BN tak tolong orang susah dan masyarakat India makin tertindas sebab itu saya masuk PKR… kerana saya sayangkan negeri saya.

“Saya anak jati Pahang tetapi satu inci tanah pun saya tak ada,” ceritanya.

Dipujuk keluar PKR

Ramasamy ialah seorang ahli jawatan kuasa cabang PKR Temerloh.

Ramasamy mendakwa bahawa exco negeri dan ketua bahagian Umno Temerloh Datuk Sharkar Shamsudin kemudian berjumpa dengannya.

“Sharkar pujuk saya keluar PKR dengan janji untuk tolong saya selesaikan masalah perumahan ini dan akan bawa saya jumpa MB,” kata Ramasamy yang menolak tawaran tersebut.

Ramasamy turut menyelar tindakan Adnan yang dianggap tidak profesional.

“Sepatutnya MB selesaikan masalah rakyat bukannya marah-marah dan cakap merapu. Saya juga kesal dengan perangai MB yang merapu dan langsung tidak profesional seperti itu.”

Ini bukan kes pertama di mana Adnan melepaskan rasa marah di khayalak umum.

Pada bulan lepas, dua wartawan diherdik Adnan.

Sebuah NGO yang bernama Tukar turut ditubuhkan rakyat yang mahu Adnan disarakan dari persada politik ekoran tindakannya yang memarahi rakyat di khayalak ramai.

Thursday, April 5, 2012

FAM gantung Annuar dua setengah tahun

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa digantung dua setengah tahun berkuat kuasa hari ini. Hukuman diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang lebih tiga jam, yang turut menetapkan bahawa Annuar tidak boleh mengemukakan rayuan.

Pergantungan Tan Sri Annuar Musa : Pemuda Lahirkan Simpati

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan simpati terhadap nasib yang menimpa Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang digantung selama dua tahun enam bulan dari terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak di negara ini sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri. Beliau dikenakan tindakan demikian setelah Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati beliau bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat. DPPNK secara dasarnya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk tertinggi sukan bola sepak Malaysia itu namun di dalam masa yang sama melihat bahawa keputusan ini merupakan satu kerugian kepada sukan bola sepak negara. Ini kerana beliau dilihat sebagai seorang individu yang berpotensi untuk memajukan sukan bolasepak tanah air sebagaimana yang dilakukan oleh beliau di Kelantan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). Rakyat tentunya amat kecewa sekiranya ada unsur politicking di dalam keputusan ini. DPPNK sejak dulu lagi menentang sebarang unsur mempolitikkan sukan khususnya bola sepak yang diminati ramai dalam apa jua bentuk sekalipun. Justeru, DPPNK satu ketika dulu mengecam tindakan mengarak Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan Kelantan pada tahun 2010 ke kawasan pilihanraya kecil DUN Galas untuk kepentingan politik pihak tertentu. DPPNK amat berharap agar kemelut pergantungan yang melibatkan Tan Sri Annuar Musa ini dapat dijernihkan. Sesungguhnya, pergantungan beliau merupakan satu kerugian yang besar kepada bola sepak negara khususnya negeri Kelantan. Kepada Tan Sri Annuar Musa, DPPNK ucapkan semoga bersabar dan menempuhi saat-saat ini dengan tenang dan tabah.

10 Ribu Warga Putrajaya Hadiri Upacara Membakar Akhbar HARAKAH

Dikhabarkan keadaan semakin sesak dan ramai yang pulang untuk menghadiri upacara ini. Orang kuat Umno Putrajaya pun dok ada sekali. Oleh kerana ramai yang terlibat dan kemungkinan api besar, pihak yang bertanggungjawab menyediakan 5 buah kereta bomba sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

KEADILAN dedah NFC cuba jual aset yang sepatutnya dibekukan

KEADILAN mendedahkan syarikat Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil cuba mengatur urusniaga bagi melupuskan hartanah-hartanah milik NFC yang sepatutnya dibekukan. Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata NFC kini sedang memuktamadkan penjualan tiga hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd (Insun Development) pada harga RM3 juta. Menurutnya, penjualan aset itu menandakan NFC sekarang sedang gulung tikar dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin wang tunai daripada aset-aset mereka. Ia juga dibuat sebaik sahaja Shahrizat mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak lama dahulu, kata Rafizi. Rafizi berkata, antara hartanah yang sedang dilupuskan oleh NFC ialah hartanah yang beralamat di B-00-22, Plaza Damas 3, No. 63 Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas Kuala Lumpur. Hartanah itu merupakan tingkat bawah, kedai pejabat tiga tingkat yang bernilai RM1.5 juta. Hartanah kedua, membabitkan B-01-22 Plaza Damas 3, No. 63 Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur, iaitu tingkat 1 kedai pejabat tiga tingkat bernilai RM759,000. Hartanah ketiga pula, melibatkan, B-02-22 Plaza Damas No. 63, Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur, Tingkat 2, Bangunan kedai tiga tingkat bernilai RM741,000. Menurutnya, urusniaga RM3 juta itu disahkan Insun Development yang beralamat di 15-5, Signature Office The Boulevard, Mid Valley City Kuala Lumpur manakala peguam yang bertindak bagi pihak pembeli ialah Heng & Co, No 30 Lorong Maarof, Bangsar Park, Kuala Lumpur. “Harga pasaran bagi ketiga-tiga hartanah ini berjumlah RM4 juta tetapi pelupusan ini mendapat diskaun sebanyak 25 peratus. Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa yang membenarkan urusniaga ini terutama apabila pelupusan dibuat pada harga yang lebih rendah. “Ini menjejaskan kemungkinan pihak berkuasa dapat merampas kembali sebarang harta yang dibeli dengan menyalahgunakan dana awam sebanyak RM250 juta, untuk mendapatkan kembali pembayaran dana tersebut kelak,” katanya. Rafizi berkata, jika penjualan aset itu boleh berlaku tanpa sebarang pengawasan, ia bermakna perkara sama boleh berlaku terhadap lima aset lain dimiliki keluarga Shahrizat yang dianggarkan bernilai RM73juta. Hartanah itu ialah Kondominium One Menerong berjumlah RM14 juta, dua lot tanah di Putrajaya (RM3 juta), Kondominium Orchard Scots (RM10 juta), dua kondominium di Marina Bay Suites (RM34 juta) dan lapan unit kedai pejabat di KL Eco city (RM12 juta). “Urusniaga melupuskan harta-harta milik keluarga Shahrizat ini membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berbohong kepada rakyat apabila beliau mengumumkan bahawa asset NFC telah dibekukan pada 14 Januari lalu,” katanya.